Sabtu, 31 Oktober 2009

Noktah Di Baris Akhir.

Noktah Di Baris Akhir

Terkenang wajah ibu membuatkanku teringat akan cerita yang selalu ibu ceritakan padaku setelah selesai menyiapkan kerja sekolah. Kata ibu, bumi Palestin itu bumi para Anbia. Ya, memang betul kata ibu. Terlintas di fikiranku suatu hari nanti ingin sekali aku ke sana. Melihat keindahan bumi anbia bagaikan dapat menyingkap sejarah para nabi terdahulu dalam mengharungi perjuangan menegakkan syiar Islam. Tapi kini, bumi itu tidak lagi aman dan sentosa seperti mana pada zaman dahulu. Bumi yang diceritakan oleh arwah ibu tidak lagi sama seperti hari ini. Kini yang tinggal hanya serpihan yang musnah dimamah bom kezaliman manusia. Aku ingin ke sana. Itu desak hatiku. Aku bertekad untuk menyaksikan sendiri keperitan itu. Akan ku persiapkan diriku ini demi menempuh sebuah perjalanan yang penuh dugaan dan rintangan yang pasti berbeza dari bumi Malaysia. Hati kecilku bagai bersorak gembira dengan keputusanku ini. Aku tidak mampu lagi membendung gelodak perasaan yang kian membara di dalam hati.
” Qistina, ayah hormati pendirianmu itu nak, tapi ayah berat hati melepaskan Qis pergi, lagi pula Qis seorang perempuan, ayah takut terjadi apa-apa yang tidak diingini Qis ”, ucap ayahku. ” Tapi ayah, Qis ke sana untuk menimba ilmu pengetahuan untuk masa depan Qis juga ayah ”, balasku dengan nada yang agak keras. ” Ayah tahu Qis, tapi ayah hanya ada Qis sahaja setelah ibu meningggalkan kita Qis ” balas ayahku dalam nada perlahan. Hatiku tiba-tiba menjadi sayu apabila mengenangkan pemergian ibu tanpa apa-apa pesan padaku. Sudah hampir tiga tahun ibu meninggalkanku. Ketika itu, aku masih lagi menuntut di tingkatan enam atas. Kini sudah tamat pengajianku sebagai pelajar tingkatan enam. Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang aku ambil telah memihak kepadaku. Aku berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut. Kini, aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara iaitu di Palestin. Impianku ke sana akan bakal tercapai, tetapi kini ayahku berat melepaskanku pergi. Katanya, takut terjadi apa-apa padaku. Memandangkan pergolakan yang sedang berlaku di sana, ayahku lagi berat melepaskanku pergi. Setiap kali usai solat, tidak putus-putus aku memohon pada Rabbul Izzati agar membuka pintu hati ayahku agar melepaskanku pergi mencari ilmu yang kudahagakan selama ini. Sahabat baikku, Sharifah Abdah telahpun mendapat keizinan kedua orang tuanya untuk melanjutkan pelajaran ke sana. Cuma tinggal diriku sahaja yang masih mengharapkan ayahku melepaskanku pergi.
” Ayah, Qis janji pada ayah yang Qis akan belajar bersungguh-sungguh untuk ayah ”, pujukku pada ayah. ” Qis, sebenarnya ayah tidak mahu lagi kehilangan sesiapa dalam diri ayah ”, balas ayahku. ” Tapi, ayah, jika begini caranya, ayah telah membunuh cita-cita murni Qis untuk membela agama dan bangsa. Cuba ayah lihat surat tawaran ini, kursus yang ditawarkan pada Qis adalah Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan. Di sana sudah takdir Qis ayah ” , ucapku seolah bagai merayu. Ayah kelu tidak berkata-kata apa-apa. Hanya renungan jauh ke luar tingkap yang menghadap ke jalan besar. Perlahan-lahan aku mendekati ayah yang sejak tadi merenung ke luar. Tangan tua ayah kusentuh. Aku genggam seeratnya. Terasa urat-urat tua pada tangan ayah dan juga kulit-kulit kematu di telapak tangan ayah. ” Ayah, maafkan Qis ayah, Qis tidak bermaksud untuk melukakan hati ayah. Qis cuma ingin mengejar cita-cita Qis ayah ”, ucapku perlahan. Air mataku jatuh satu per satu di tangan ayah. Dalam suasana hening tersebut dapat kurasakan betapa kasihnya ayah padaku. Memang benar kata ayah, dia takut kehilanganku seperti ibu meninggalkan kami berdua dahulu. Ibu pergi menghadap Ilahi setelah dua tahun bertarung dengan penyakit barah perut. Kini timbul pula rasa bersakahku pada ayah kerana sering sahaja ingkar dengan larangan ayah agar tidak pergi belajar jauh-jauh dari ayah. Ayah pernah berkata kepadaku, di Malaysia pun apa kurangnya dengan universiti-unversiti yang menawarkan kursus-kursus perubatan setanding dengan negara luar. Tapi ayah tidak mengerti hasrat hatiku. Aku ingin sekali bersama-sama cita-citaku berjuang menegakkan agama dan bangsa. Itu impian murniku.
” Qis, ayah lepaskan Qis pergi, tetapi dengan satu syarat iaitu jagalah adab dan tatasusila yang telah arwah ibu dan ayah ajarkan ”, ucap ayahku erlahan. Lidahku kelu tidak dapat berkata apa-apa. Hanya linangan air mata kegembiraan yang membasahi pipi. Aku memeluk erat ayahku. ” Terima kasih ayah kerana memahami hasrat murni Qis ”, bisikku perlahan pada ayah. ” Bila Qis akan berangkat ke sana ”, tanya ayahku. ” Minggu depan ayah ”, balasku pantas. Kini gelodak jiwaku kian reda setelah mendapat keizinan untuk melanjutkan pelajaran oleh ayah. Segala kelengkapan perlu kusiapkan dengan lebih cepat kerana hari yang bakal menjelang tidak lama lagi. Tetapi, kebanyakan barang akan kugunakan barang yang telah sedia ada agar dapat berjimat untuk membeli keperluan yang lain kelak. Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Aku mengenakan baju kurung jahitan arwah ibu ketika hayatnya. Kurung itu berwarna merah hati iaitu warna kesukaan arwah ibu. Setelah kerongsang terakhir disematkan di atas bahu, aku mencapai tas tangan bersama tiket kapal terbang an juga pasport yang terletak di birai katil. Kini, aku akan melangkah jauh dari bumi Malaysia demi mencari sebutir iman mutiara yang tersembunyi di bumi para anbia. Aku berjanji pada diriku sendiri yang akukan belajar bersungguh-sungguh dan demi menegakkan syiar Islam yang agung lagi suci. Janjiku pada ayah tidak akan kulupakan. Akukan menjaga maruah diriku ini agar menjadi muslimah sejati dan menjadi contoh kepada muslimin yang untuk menabur bakti demi agama yang tercinta. Dapat kurasakan debaran yang kian kencang. Aku akan meninggalkan ayah yang tercinta berseorangan di sini. Akanku tinggalkan segala kenangan bersama arwah ibu. Lantas, terdetik di dalam hatiku, bagaimana pula jika ayah mengalami kesakitan. Tetapi, pada saat ayah melafazkan izin kepadaku, ayah berpesan padaku agar menumpukan sepenuh tumpuan pada pelajaranku dan jangan bimbang akan ayah di sini. Walau hanya sekadar jaminan yang ayah lontarkan itu, tetapi jiwaku tetap bimbang akan keselamatan ayah di sini. Tetapi, cita-citaku membatasi segalanya. Akanku kotakan janjiku untuk mengenggam segulung ijazah untuk ayah dan arwah ibu. Ibu, kini impianku untuk ke sana akan terlaksana atas restu ayah dan ibu. Qis akan buktikan pada ayah dan ibu. Di sana nanti aku tidak keseorangan kerana aku akan bersama-sama sahabat-sahabat sebagai penuntut di sana. Di sana nanti segala pengalaman baru akan kupelajari. Aku juga terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cuaca di sana. Tetapi itu semua bukan halangan untukku menggapai cita-citaku. Perjalanan dari rumah ke lapangan terbang kurasakan agak jauh. Mungkin hati ini sudah tidak sabar-sabar lagi untuk meraih ilmu di sana. Pada kebiasaannya, Bangi ke Sepang hanya mengambil masa selama 45 minit sahaja. Tetapi entah hari ini dapat kurasakan suatu kelainan. Sepanjang perjalanan aku tidak banyak bercakap. Aku lebih banyak membisu. Mungkin perasaan sedih kian merundung di dalam hatiku. Aku tidak sanggup melihat ayah menangis. Aku berasa amat bersalah pada ayah. Sekali-sekala aku tenung wajah ayah yang serius memandu. Aku tahu, hatinya masih berat untuk melepaskanku pergi. Tetapi, demi masa depanku, ayah merelakannya walaupun terluka. Seminggu lalu, ketika ayah menghantarku ke Wisma Putra di Kuala Lumpur untuk taklimat terakhir ke sana, ayah ada memesan kepadaku agar mempelajari segala ilmu yang dapat dimanfaatkan kelak. Bukan sekadar ilmu akademik, tetapi ilmu yang berkaitan duniawi dan ukhrawi. Akan kuiingat pesan ayah sebagai pedoman hidupku di sana nanti. Setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, aku turun dari kereta ditemani ayahku. Ayah menarik sebuah bagasi besar manakala diriku menjinjing sebuah beg yang sederhana besar. Air mataku tiba-tiba bergenang di kelopak mata di kala melihat ayah yang sedang bersusah-payah menarik bagasiku. Tanpa disedari, air mataku tertumpah jua. Cepat-cepat kukesat agar tidak dilihat oleh ayah. Aku perlu kuat untuk mengharungi segala cabaran hidup ini. Aku telah berjanji pada ayah dan arwah ibu. Dari jauh kelihatan sahabat-sahabatku sedang berkumpul bersama ahli keluarga masing-masing di suatu penjuru. Aku dan ayah lekas-lekas menghampiri kumpulan itu. Setelah bersalaman dengan sahabat-sahabatku serta kaum keluarga mereka yang lain, dapat kurasakan betapa eratnya pertalian kekeluaragaan yang ditunjukkan. Masing-masing jelas terpancar wajah gembira bercampur sedih kerana akan meninggalkan bumi Malaysia tidak lama lagi. Dari jauh aku memandang ayah. Kelihatan wajah ayah yang amat tenang seolah tiada apa yang berlaku. Ayah tidak mahu menunjukkan wajah sedih hanya kerana untuk melepaskanku untuk pergi menuntut ilmu. Ayah sudah merelakan dan redha. Ayah berkata kepadaku apabila seseorang muslim itu pergi merantau jauh ke negara luar hanya sekadar untuk menuntut ilmu, itu merupakan ibadah dalam diri kita. Akan kuiingat segala pesanan ayah kepadaku. Setelah pengumuman terakhir dibuat oleh petugas pintu pelepasan agar meminta supaya para penumpang untuk bersedia memasuki pintu pelepasan. Aku pantas menghampiri ayah yang sejak dari tadi bebrbual dengan seorang ahli keluarga yang turut sama menghantar anaknya. Aku terasa bagaikan alam ini begitu suram ketika. Sudah kedengaran esak tangis ahli keluarga apatah sahabat-sahabatku sendiri. Ayah menghulurkan tangan lalu kusambut lalu kukucup tangan ayah. Air mata jatuh satu persatu di atas tangan ayah. Ayah mengusap-usap kepalaku. Aku memohon ampun dan maaf buat kali terakhir ayah. Aku memohon agar dihalalkan segala makan minum selama aku hidup bersama ayah. Lantas aku memeluk erat tubuh tua ayah. Aku rasa tidak mahu melepaskan ayah pada ketika itu. Aku terlalu sayu dan pilu pada saat itu. Hanya air mata yang bagaikan air hujan yang mencurah-curah membasahi pipiku. ” Pergilah Qis, ayah merelakannya dan redha dengan keputusan Qis untuk belajar di sana ”, ucap ayah dengan nada yang amat sebak. Aku tidak dapat membendung perasaanku lagi. Tangisanku kian kuat, tetapi diredakan oleh ayah. Aku terpaksa melepaskan tubuh ayah dari pelukanku. Kini, langkahku perlu kuatur ke pintu pelepasan. Tudung yang kupakai sudah basah bersama air mata yang gugur sejak dari tadi. Langkahku sudah jauh dari ayah. Kini, aku menghampiri pintu dan terus melangkah masuk menuju ke pesawat. Sudah tidak lagi wajah ayah. Aku semahu-mahunya, tetapi apakan daya. Seruan ilmu membatasi segalanya.
Sudah hampir dua jam aku tertidur. Tiba-tiba aku tersedar dan melihat sahabat baikku, Sharifah Abdah sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran yang dibawa bersama. Aku mencapai segelas air yang diletakkan di hadapan lalu kuteguk untuk menghilangkan haus. Lalu, aku juga mengeluarkan sebuah al-Quran kecil yang kusimpan di dalam tas tanganku. Lalu kubaca ayat suci itu agar dapat menghilangkan sendu yang masih lagi terasa. Setelah sembilan jam berada di dalam pesawat Malaysia Airlines itu, kini tibalah aku di bumi anbia yang menjadi inspirasiku selama ini. Setelah melepasi urusan pasport dan mengambil bagasi, aku dan sahabat-sahabatku menuju ke sebuah bas yang sedang menunggu di luar perkarangan lapangan terbang. Aku dan sahabat-sahabatku menaiki bas tersebut yang akan membawa kami semua ke Wisma Putra di sana. Sepanjang perjalanan dapat kulihat betapa indahnya bumi anbia yang seperti mana yang diceritakan oleh arwah ibu. Aku teringat akan arwah ibu. Lalu, kubuka tas tanganku dan mencapai telefon bimbitku. Aku bercadang untuk menghantar mesej kepada ayahku untuk memberitahunya yang aku sudah sampai di sini. Aku pantas menekan abjad yang terdapat pada telefon bimbitku. ” Assalamualaikum ayah, Qis sudah sampai di bumi anbia ini ayah, Qis berasa amat sedih kerana terpaksa berpisah dengan ayah, Qis berjanji pada ayah untuk belajar bersungguh-sungguh demi menegakkan agama dan bangsa. Qis sayang pada ayah dan arwah ibu. Qis sayang ayah. Itulah noktah terakhir yang kutaipkan di dalam mesejku pada ayah sebelum bas yang aku naiki meletup setelah dibom oleh askar zionis. Semua kini dalam kenangan. Aku pasti, ayah telah redha dengan pemergianku ini. Pemergian yang membawa amanah yang besar tetapi terhenti di tengah jalan. Aku doakan agar ayah tabah menghadapi segala qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah swt.

Qistina Sala
Universiti Putra Malaysia,
Serdang, Malaysia.
11 Oktober 2009/ 22 Syawal 1430.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan